Sebuah Penerbitan SPH — kumpulan media yang diyakini
Singapura,

Waktu Solat

SUBUH 5.55 SYURUK 7.12 ZUHUR 1.16 ASAR 4.24 MAGHRIB 7.18 ISYAK 8.27

Tindakan segera dan tegas perlu ke atas perusuh

RUSUHAN di Little India Ahad malam lalu amat mengejutkan. Apatah lagi ia turut melibatkan perbuatan menyerang ambulans yang sedang berusaha membantu mangsa dan bukan satu tetapi berapa kereta ronda hingga mencederakan pegawai polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). Ini menambahkan kemarahan penduduk, warga mahupun bukan warga, yang menghargai keamanan yang dinikmati di negara ini dan mematuhi undang-undang. Jelas sekali para perusuh itu mengambil undang-undang ke dalam tangan mereka sendiri dan bertindak tanpa mempedulikan kesan ke atas nyawa dan harta benda. Ia perkara yang tidak boleh dibiarkan. Tindakan segera dan tegas harus diambil ke atas mereka.

Tiada alasan untuk merusuh di negara ini walau apa pun puncanya. Singapura bukan negara yang pasukan polisnya tidak boleh dipercayai untuk menyiasat setiap kejadian dengan teliti lagi menyeluruh, dan yang undang-undang tidak dilaksana dengan adil dan saksama. Lantas, apa pun yang berlaku harus diserah kepada pihak berkuasa untuk menyiasat, memastikan duduk perkara, melaksana undang-undang dan menghukum yang bersalah. Ini cara betul untuk semua, bukan mengetepikan undang-undang dan bertindak sesuka hati mengikut perasaan.