Majalah dwibahasa terbitan Berita Harian, Singapore Press Holdings (SPH), dengan tajaan Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew
SPH

Acara galak ibu bapa ‘sertai’ dalam pendidikan anak

Acara galak ibu bapa ‘sertai’ dalam pendidikan anak
Dr Yaacob Ibrahim membacakan kisah The Satay Man, ditulis Cik Azlina Abdul Khalik (kanan), kepada kanak-kanak yang hadir dalam acara Cahaya M @ Heartlands di Dewan Serbaguna Ang Mo Kio Avenue 6 pada 26 April. Turut hadir adalah Dr Intan Azura Mokhtar, Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio (kiri)

GELAK tawa kanak-kanak dan ibu bapa mereka memenuhi dewan serbaguna Ang Mo Kio Avenue 6 kelmarin apabila pelbagai kegiatan dijalankan bagi memupuk tabiat membaca dan menggalak pelibatan ibu bapa dalam pendidikan anak- anak.
Melalui acara yang dipimpin beberapa wartawan Berita Harian, kanak-kanak seronok menyertai kegiatan seperti sesi senaman ringkas dan kuiz bagi meningkatkan tenaga.

Malah tetamu terhormat, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, ‘turun padang’ bercerita kepada kanak-kanak dalam acara Cahaya M @ Heartlands anjuran Berita Harian dengan kerjasama Yayasan Mendaki itu.
Acara itu adalah program menggalak pelibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak yang dijalankan di estet perumahan.

Kelmarin, acara turut mengetengahkan majalah dwibahasa kanak-kanak terbitan Berita Harian, Cilik Cerdik – dalam versi bahasa Inggeris, Smart Kids – yang merupakan usaha akhbar ini menggalak kedwibahasaan dalam kalangan masyarakat, khususnya murid prasekolah, selain memupuk tabiat membaca.

Majalah dwibahasa itu dihasilkan dengan tajaan daripada Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew (LKYFB).
Pelbagai tema positif dan relevan – daripada menjaga alam sekitar kepada cara meluangkan masa di luar rumah bersama keluarga – diadakan setiap bulan dalam majalah tersebut.

Seorang lagi tetamu, Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Dr Intan Azura Mokhtar, berkata: “Tema relevan yang diadakan setiap bulan itu boleh menjadi topik perbualan bagi ibu bapa dan kanak-kanak mengenai apa yang mereka lihat dan juga nilai-nilai penting yang boleh dipelajari daripada majalah tersebut. Cilik Cerdik bagus untuk kanak-kanak kerana tidak banyak majalah dwibahasa dijual di pasaran, dan saya harap majalah ini boleh diedar di seluruh Singapura supaya lebih ramai kanak-kanak Melayu boleh membacanya.”
Kanak-kanak dan ibu bapa juga dihiburkan dengan nyanyian lagu Melayu dan Inggeris – sejajar dengan matlamat acara tersebut – dikendalikan dua wartawan pelatih Berita Harian, Encik Khairulameer Ramlan dan Cik Anisa Abdullah.

Sekumpulan lulusan Politeknik Singapura pula membaca dan melakonkan tiga cerita yang dihasilkan mereka sendiri dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Sesi bercerita bersama Dr Yaacob menarik minat pendengar cilik, mahupun ibu bapa.

Dr Yaacob membacakan buku berjudul The Satay Man (Lelaki Penjual Sate) yang mengisahkan seorang budak lelaki yang dalam perjalanan membeli sate tetapi terjatuh dan kehilangan sebahagian wang yang diberi ibunya untuk membeli hidangan itu.
Buku adalah tulisan Cik Azlina Abdul Khalek, pegawai perancangan kurikulum Bahasa Inggeris (Rendah) di Kementerian Pendidikan (MOE), dan diterbitkan Bahagian Bahasa dan Sastera Inggeris, Jabatan Perancangan dan Pembangunan Kurikulum (CP-DD), MOE.
Kanak-kanak yang menyertai kuiz yang diadakan selepas sesi bercerita membawa pulang hadiah menarik, sementara ibu bapa mendapat beg berisi cenderahati daripada Berita Harian dan naskhah terkini majalah Cilik Cerdik.

Terdapat juga gerai-gerai lain di acara tersebut, seperti gerai demonstrasi mencetak menggunakan teknologi 3D, memegunkan ibu bapa dan juga kanak-kanak, dan gerai cara membuat mainan menggunakan barang-barang rumah terpakai.
Gerai makanan yang menghidangkan sate percuma juga disediakan, dipadankan dengan buku yang dibacakan Dr Yaacob.